Nabi Samson atau Nabi Syam’un adalah salah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Kisah Nabi Syam’un atau Samson ini tidak terdapat dalam Al-Quran tetapi kisah Syam’un ini ada dalam kitab Qisasul Al-Anbiya.’ Dalam kitab itu dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tersenyum sendiri, lalu ditanya oleh sahabatnya, ‘Apa yang membuatkanmu tersenyum wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab, ‘Diperlihatkan kepadaku hari akhir ketika seluruh manusia dikumpulkan di mahsyar, ada seorang Nabi dengan membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut satupun, masuk ke dalam syurga. Beliau adalah Syam’un.’
Dalam kitab Muqasyafatul Qulub karangan Imam Ghazali ada menceritakan bahawa Rasulullah SAW berkumpul pada bulan suci Ramadhan. Di dalam usrah itu Rasulullah SAW bercerita mengenai Nabi Allah yang bernama Syam’un AS. Rasulullah SAW menggelarnya Sam’un Ghazi. Syam’un AS telah dianugerahkan oleh Allah SWT dengan kekuatan luar biasa seperti berkebolehan melembutkan besi, mampu menewaskan binatang buas dan berkemampuan untuk mengangkat tiang istana dan merobohkannya. Nabi Allah ini menentang keras perbuatan kaumnya yang ingkar dengan perintah Allah SWT. Pada masa itu, Raja Israel sendiri adalah seorang yang ingkar terhadap perintah Allah SWT dan zalim pula terhadap rakyatnya. Sifat bongkak raja tersebut mengundang rasa benci beliau terhadap raja tersebut sehingga menyebabkan baginda tidak henti-henti berdakwah kepadanya walau dengan apa cara sekalipun.
Sifat istiqamah Syam’un AS mengundang padah kepadanya apabila beliau berjaya ditangkap selepas isterinya sendiri mengkhianatinya. Syam’un AS pernah berkata kepada isterinya berkenaan kelemahan dirinya yang boleh dilemahkan dengan mengikat dirinya dengan rambutnya sendiri. Akhirnya Syam’un AS ditangkap. Syam’un AS telah diseksa dan dibutakan matanya. Namun, itu tidak menghalang dirinya untuk terus berjuang menentang kebatilan. Syam’un AS berdoa kepada Allah SWT agar dikembalikan kekuatan yang dianugerahkan kepadanya dahulu. Allah SWT memakbulkan doa baginda. Syam’un AS telah menggunakan kekuatan yang diperolehinya semula dengan meruntuhkan seluruh istana sehingga mengorbankan raja dan isteri beliau sendiri.
Selepas kejadian itu, Syam’un AS bersumpah untuk beribadah selama 1,000 bulan tanpa henti. Daripada kisah yang diceritakan inilah, maka datang wahyu berkenaan malam Lailatul Qadar yang sama dengan keberkatan 1,000 bulan. Ini adalah kerana terdapat sahabat baginda Rasulullah SAW yang bertanya kepada baginda untuk mereka ikut jejak langkah Nabi Syam’un AS. Baginda terdiam sejenak sebelum Malaikat Jibril datang menurunkan wahyu kepada baginda Rasulullah SAW mengenai satu malam pada bulan Ramadhan yakni malam Lailatul Qadar iaitu sesiapa yang beribadat pada malam tersebut, pahala amalannya menyamai 1,000 bulan beribadat.
Kredit: Ibnu Ibrahim At-Tawari
No comments:
Post a Comment