Seorang gadis sangat suka menyanyi, menari dan bermain muzik.
Sejak kecil dia menyertai banyak pertandingan dan persembahan. Ramai mengatakan, dia bakal menjadi seorang penghibur terkenal suatu hari nanti.
Pada usia awal belasan tahun, dia disahkan menghidap sejenis penyakit yang akan membuatkannya hilang keupayaan pancainderanya satu demi satu.
Pada usia 16 tahun, dia kehilangan pendengaran secara total dan kekal.
Pada tahun-tahun awal, dia kehilangan semangat dan hampir membunuh diri. Namun, apabila doktor memberitahu yang penyakitnya semakin beransur pulih, dia menyedari sesuatu.
"Tuhan kata mahu ambil semua pancaraindera saya. Saya tidak boleh mendengar, melihat, menghidu dan menyentuh. Tetapi Dia masih kasihankan saya dan hanya mengambil pendengaran saya. Saya tahu saya mesti tunjukkan kesyukuran saya dan kembali melakukan apa yang paling suka dalam hidup; muzik."
Dia bangun, belajar membaca gerak bibir, belajar 'sign language' dan mengupah seorang penterjemah tetap. Dia masih belum mahir berkomunikasi dalam keadaan 'baru' itu.
Dia tidak membenarkan keluarganya membayar upah itu. Sebaliknya, hanya bermodalkan semangat dan keyakinannya, dia berjaya membuatkan penterjemah itu mahu membantunya pada bila-bila masa.
"Saya belajar menyanyi dan menari semula. Memang susah. Saya perlu menyanyi tanpa dapat mendengar tempo dan menari tanpa dapat mendengar muzik. Saya hampir berputus asa, dan setiap kali mahu mengalah, saya akan memaksa mata saya terbuka ketika menangis supaya saya tidak lupa yang Tuhan masih sayangkan saya dan masih membenarkan saya melihat dunia."
"Sudah berapa lama kamu berlatih menari dan menyanyi semula?" tanya salah seorang juri.
"Dua tahun."
"Dan bagaimana kamu mengikut rentak dan tempo?"
"Melalui getaran-getaran yang saya dapat rasakan pada lantai.
"Sebab itu kamu perlu membuka kasut?"
"Ya."
"Dan piano?"
"Melalui memori saya."
Ketika persembahan, dia mendapat 'standing ovation' daripada semua juri dan penonton di dewan itu.
Ternyata suaranya sangat merdu, dapat bermain piano dengan lancar dan menari dengan sangat baik.
Persembahannya langsung tidak kelihatan seperti orang yang cacat pendengaran.
Pembaca sekalian,
Alasan ialah apa-apa yang kita beritahu kepada diri kita sendiri ketika kita sebenarnya mampu melakukannya, tetapi mempunyai pilihan untuk tidak melakukannya.
Apabila kita sudah benar-benar tidak mampu melakukannya, namun tiada pilihan untuk tidak melakukannya, semua alasan itu akan hilang dengan sendiri.
"Alasan hanya muncul apabila kita tidak mahu melakukan sesuatu dan akan hilang apabila kita benar-benar mahu melakukan sesuatu."
Kredit: Zuryati Isa
No comments:
Post a Comment