Kisah sempena Nisfu Syaaban
"Berdoalah, minta sungguh-sungguh, doa anak-anak kecil seperti kalian, 'Allah' pasti makbulkan, insya-Allah".
"Apa saja ke ustazah?". Soal aku.
"Boleh, mintalah, apa yang tak bolehnya?, jaga akhlak korang, kalau degil, biadab, melawan ibu bapa, lupakan saja, mintalah juga pada ibu, ayah, saudara terdekat kita dahulu. Di samping itu, jangan sesekali lupa berdoalah banyak-banyak pada Tuhan".
"Ajim! Puad! tutup mulut tu masuk dek 'setan' nanti, terlopong je mulut tu", bentak Ustazah Mawardatul.
Begitulah sedikit sebanyak pesanannya dalam pelajaran 'Tauhid' sebelum tiba waktu rehat.
Tiba-tiba Puad mengajukan soalan berbunyi, "Ustazah kalau semua dalam dunia ini tiada, bola, orang, binatang, matahari, 'Tuhan' itu ada ke?".
Soalan paling pintar aku pernah dengar dari mulutnya, dan entah kenapa pertanyaan itu terpacul dari mulutnya, kami agak kagum dengan soalan itu, sunguh luar biasa, sudahlah dia seorang sahaja anak Melayu yang bersekolah Cina 'SJKC' dan satu-satunya anak 'yatim' dalam kalangan sahabat kami, soalannya membuat kami juga tertanya-tanya, 'Tuhan itu ada kah?, bila semua tidak wujud?, tapi 'Tuhan' ada di mana?.
Ustazah menjawab dengan tenang.
"Beginilah, semua dah hafal rukun iman, sifat dua puluh?, Baik, apa sifat dua puluh yang pertama?".
"Ajim!, bangun, apa yang pertama?.
Ajim mencuit aku, "apa Aus?", perlahan dia berbisik.
"kamu diam Aus, jangan beritahu, apa sifat '20' pertama Ajim!, Rotannya dilibaskan ke meja, kamu hafal atau tidak?", tegas Ustazah.
Terketar- ketar Ajim, mulutnya terkumat-kamit, seolah-olah sedang berdoa.
"Erghhh 'ADA! Ustazah", saya hafal.
Belum sempat Ajim memberi jawapan dari mulutnya, Ustazah memintas terlebih dahulu.
"Bagus! Boleh diterima, walaupun kurang tepat".
Eh! bila pula Ajim beri jawapan?, terpinga-pinga kami semua.
"Dengar anak-anak, jawapannya adalah 'Wujud', jawapan Ajim 'ADA', bolehlah diterima walaupun hampir tepat, jadi anak-anak, kalau difikirkan sifat yang pertama ialah 'Wujud', Allah itu memang sentiasa wujud, tidak dilahirkan atau melahirkan, terpulang pada-Nya untuk mencipta atau tidak semua benda yang ada dalam dunia ini termasuk kita manusia dan lainnya, Dia memang sentiasa ada".
"Kita yang beragama Islam wajib percaya rukun iman dan fahamkan sifat '20', duduk Ajim, baik, semua boleh pergi berehat, lepas rehat kita ada ujian".
Senyum ustazah melihat anak-anak muridnya yang pelbagai ragam.
"Jangan lupa solat Asar, sebelum masuk ke kelas semula". Dia bertegas.
"Doa aku makbullah", ujar Ajim, "Aku tak ingat pun sifat '20' tu tadi, tapi belum sempat aku jawab, ustazah ingat aku dah bagi jawapan, selamat aku".
"Oh kau doa ke tadi?, makbul doa kau Ajim, 'Tuhan' dengar". 'Di dalam hati, aku bertekad untuk berdoa banyak-banyak selalu'.
Sedang asyik kami menjamah karipap, Si Fendi cucu Tok Dagang menyampai pesan, "Malam ini korang datang rumah aku, mak aku buat kenduri".
"Siapa yang meninggal?", soal Puad,
"Bukan kenduri orang matilah, kenduri aku nak bersunat, cuti sekolah nanti".
"Baca doa banyak-banyak Fendi, kalau tidak putus habis semuanya", gurau kasar Si Puad.
*AYAM DALAM IKLAN.
Malam itu selepas solat Isyak, aku ikutlah jemaah masjid ke kenduri di rumah Fendi.
"Ya Allah berkatilah keluarga ini, perkenankanlah segala doa kami, Amin! Amin! Ya Rabbal Alamin".
Amin!!.
"Sila, sila, jemput makan, buatlah macam rumah sendiri ya, tak yah segan-segan", pelawa tuan rumah.
'Disaji bapa Si Fendi makanan bangsawan, balang kaca terisi teh 'o' ais laici, menjilat jari aku tiru iklan, sedap nak mati begini rasa 'KFC'.
Pertama kali dalam hidup dapat makan 'KFC', sedap bukan main.
Aku tersengih menjilat jari, sambil ibu jari tangan kiri menunjukkan isyarat bagus pada abang aku, digeleng kepala sambil matanya dikecilkan seperti amaran 'jangan'. Si Puad pula sangat tenang menikmati saat-saat terindah ini, seolah-olah dia berada dalam dunianya sendiri.
Aku tunjuk pada abang, ada seketul lagi dalam pinggan, niat di hati nak masukkan ke dalam poket, bawa pulang, teringat pula pada mak dengan adik-adik, pasti mereka suka, selama ini mana kami pernah menikmati 'KFC', tapi hasrat aku terbantut, ada tangan yang lebih pantas menyambar seketul tadi, nampaknya rezeki untuk mak dan adik-adik aku tak kesampaian kali ini.
Abang aku berpesan,
"Wus kat umah nanti, kalau diorang tanya makan apa?, cakap je makan nasi macam kat rumah jugak, takut diorang kempunan".
Aku iyakan sahaja, 'dalam hati aku berdoa supaya satu hari nanti, bila abah dapat gaji, dapatlah beli 'KFC', untuk mak dan adik-adik, sebab ayam ni sedap sangat'.
Lepas makan semua jemaah pun keluar bersalaman, aku pula saja keluar lambat-lambat dari rumah Fendi, banyak mainannya, bolehlah cuci mata sebentar, maklumlah mak dia kerja di 'bank', pastilah banyak duitnya fikir aku.
"Aus, Puad sekejap, korang nak tengok tak basikal baru aku?",
Fendi menayangkan 'Bmx Shimano' barunya, warnanya 'krom' kilat bersinar macam cermin, hadiah bersunat katanya, sesuailah dengan dia, anak orang berada, kalau aku beranganlah nak mendapatnya. Dipelawanya aku menunggang, aku menolak baik, kerana ingatkan pesan Abah.
"Walau bersinar di pandangan,
jangan sampai kau tertawan,
milik orang walaupun cantik,
jangan sesekali kau usik,
dipelawa orang memang seronok dan ralit,
Kalau rosak nak diganti mana nak dicari duit".
Pesanan abahku tergambar dalam fikiran..
Aku cakap "takpe Fendi Aku tengok je dulu, memang cantik ni, mesti mahal kan?, lain kalilah". Padahal waktu itu jiwa aku meronta-ronta hendak mencuba.
Tapi Puad, memang selamba, ini peluang keemasan, dicubanya juga mengayuh satu pusingan, lalu diangkatnya tayar depan 'willy', aku pula yang seram, takut jahanam.
"Aus! Puad! sekejap, ambik ni bawa balik, kirim salam pada mak dan ayah korang", kenapa abah tak datang?" .
"Abah demam cik".
Makcik Zaharah, membungkus untuk kami setiap satu, aku membuka perlahan, dalam hati aku 'Ya Allah dalam tu ada beberapa ketul ayam lagi, Allah makbulkan doa aku sekejap sahaja, terima kasih Ya Allah', aku sangat yakin sejak hari itu, apa yang ustazah pesan bahawa doa anak kecil itu sangat mudah makbul.
Mata aku bergenang, sebak dan terharu, terbayang di rumah pasti adik- adik gembira, sambil makan dan menjilat jari.
"Terima kasih Acik Zaharah".
Senyum mak Si Fendi, seolah sangat memahami.
"Terima kasih cik". Si Puad dengan suara nyaringnya.
Riang betul adik-adikku menjamah ayam yang dikhabarkan paling lazat dalam dunia itu, memang betul-betul mereka menjilat jari.
*MINTAK BASIKAL PADA TUHAN
Malam itu sebelum tidur aku berdoa supaya rezeki abah dimurahkan, diluaskan jalan dan pintunya, dapatlah satu hari nanti membelikan aku sebuah basikal. Di rumah aku memang sudah sedia ada sebuah, tapi jenis basikal tua, nak menunggang pun kena menyelit, hendak duduk sayangnya tak sampai punggung, salah kayuhan boleh pecah punggung dihentak palang, bukannya aku tak bersyukur, tapi kalau ada sebuah 'Bmx' pasti hidup ini lebih bermakna dan ceria.
Esoknya lepas balik dari sekolah agama, berjalan kaki aku menyinggah ke kedai basikal 'Bee Huat', ada satu 'Bmx' berwarna kuning tergantung, 'Shimano' juga jenamanya, memang sangat cantik.
Aku tadahkan tangan berdoa supaya satu hari nanti ia menjadi milikku, setiap hari dan menjadi rutin aku datang ke kedai itu menadah tangan, sampai 'Towkey' pun perasan dan cakap, "Lu jampi apa?, kasi taulah sama lu punya bapak, suruh beli", aku diam sahaja, sebab dia bukannya faham, sedangkan nak minta '10' sen pun aku gentar, inikan pula basikal, aku lebih rela minta pada 'Tuhan', Pasti suatu hari dimakbulkan.
Sebelah kedai basikal pula, ada sebuah kedai runcit, aku terpandang satu 'poster' yang menarik perhatian, peraduan 'Mr-Smart' makanan ringan persis 'Super-Ring', 'kumpul '50' plastik bungkusan, hadiah utama sebuah basikal'.
Ini memang keajaiban depan mata, mudah dan peluang keemasan untuk menang sangat jelas. Mulai dari hari itu rutin aku bertukar mencari bungkusan, terkadang hingga terlupa dengan jadual berdoa depan kedai basikal.
Hari berganti minggu, selepas puas aku jelajahi kawasan Pekan Bangi, tong sampah ceruk mana pun aku punggah, anak-anak Cina atau India kawasan kedai, yang sedang menikmati 'Mr-Smart' pun aku tunggu sampai mereka habis makan, kemudiannya aku mintak bungkusan itu tanpa rasa malu, ini tanggungjawab dan disiplin untuk berjaya. Akhirnya, cukuplah '50' plastik bungkusan yang telah aku usahakan.
Aku bawa abang menemaniku ke kedai 'Towkey' runcit, menyerahkan plastik dan mengisi sehelai borang dengan perasan puas dan bangga, 'Towkey' meminta aku menunggu lagi satu minggu, lepas satu minggu aku kembali, 'Towkey' cakap ada hadiah untuk aku, diberi sehelai borang lain untuk penyerahan, basikal idaman pasti di tangan. Rupanya, hadiah diberikan hanyalah sebatang pen 'gemuk gambar seekor gajah berwarna kuning', itu sahaja yang aku dapat. Aku pertikaikan, 'Towkey' tak layan, tak puas hati, aku bawak abang yang paling besar, ujar 'Towkey' "plastik itu banyak yang kotor, itu sebab dapat sagu hati sahaja", walaupun Terma dan syaratnya tidak menyatakan begitu juga kriteria sudah cukup aku penuhi.
Aku agak kecewa, mungkin belum rezeki dan doa aku belum dimakbulkan 'Tuhan'.
Suatu hari aku terpandang anak perempuan 'Towkey' itu menunggang basikal, bukan main riang dengan senyum leretnya, biru dan oren sama macam warna basikal dalam poster peraduan 'Mr-Smart', aku beritahu pada abang. Abang aku datang ke kedai minta penjelasan dan hak kami, tapi apakan daya, orang yang penuh muslihat, bijak tipu dayanya, katanya, "itu basikal, anak dia sudah menang, itu dia punyalah", menjeling 'towkey' pada kami. Aku yakin benar itu sepatutnya hak aku,
Walhal sudah tertulis pada terma dan syarat 'penjual dan keluarga tidak dibenarkan menyertainya'.
Sejak itu Mak 'boikot' tidak berbelian barang di kedai 'Towkey' itu lagi.
*****
"Basikal sapa?" soal aku pada adik yang sedang fokus mencuci basikal 'Bmx Kuwahara' hitam itu.
"Basikal kita, abah beli dekat koperasi, tadi ada orang hantar," ujar adik.
Aku berlari ke bahagian belakang rumah, hati aku gembira bukan kepalang, pasti abah beli dua basikal dan kepunyaanku disembunyikan di belakang, dalam hati 'Tuhan dah dengar doa aku'.
"Kau cari apa Wus?" Mak aku menyoal.
"Mana basikal Aus mak, abah letak kat mana? Aku bertanya dengan keterujaan luar biasa.
"Tu ada kat depan, adik tengah basuh tu, basikal koranglah tu, abah kata kongsi, main sama-sama".
Hati sedikit kecewa, aku yang puas berdoa, tapi adik yang dapat rasmikan dulu.
Aku tarik nafas panjang dan bersabar, mungkin adikku pun berdoa juga, teringat aku dengan pesanan ustazah.
'Adakalanya 'Allah' makbulkan doa kita dengan cara yang lain, selalu bersyukur'.
Rupa-rupanya bila difaham kembali, doa aku 'Allah' telah makbulkan, rezeki untuk dikongsi bersama, bukan pada diri sendiri sahaja.
Berdoalah terus pada-Nya, adakalanya tanpa kita sedar doa kita telah dimakbulkan oleh Yang 'Maha Esa', tapi dengan cara lain, waktu dan bentuk yang berbeza, percayalah...
Kredit: Firdaus Aus Zainal
No comments:
Post a Comment