SELAMAT DATANG KE BLOG PUSAT SUMBER SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANCHOR, SEREMBAN..............SELAMAT DATANG KE BLOG PUSAT SUMBER SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANCHOR, SEREMBAN

01 November, 2022

Tan Sri Dato Mubin Sheppard

 


Tan Sri Dato Mubin Sheppard ialah salah seorang pegawai kolonial yang berkhidmat di Tanah Melayu yang memeluk Islam. Nama asalnya Mervyn Cecil Frank Sheppard yang dilahirkan pada 1905 di Ireland. Mendapat pendidikan awal di Malborough College dan Universiti Cambridge. Pada tahun 1928 beliau lulus peperiksaan menjadi pegawai kolonial untuk berkhidmat di Tanah Melayu.

Mula berkhidmat sebagai pegawai kadet Malay Civil Service di Tanah Melayu. Menjawat beberapa jawatan penting antara pegawai daerah, residen di Negeri Sembilan dan pegawai pelajaran Persekutuan Tanah Melayu. Sejak mula datang ke Tanah Melayu, beliau telah jatuh cinta dengan Tanah Melayu dan Agama Islam. 

Diberitakan beliau memeluk Islam semasa bertugas di Negeri Sembilan. Guru beliau bagi mendalami Agama Islam adalah Haji Abdur Rahman bin Haji Usman, salah seorang guru bahasa Melayu yang pada tahun 1903 menjadi Pengawas Sekolah-Sekolah Melayu di Singapura.

Terlalu banyak jasa dan pengorbanan beliau. Antara pernah menjadi pegawai tentera gerila British bagi melawan pendudukan Jepun. Tetapi akhirnya beliau ditangkap lalu menjadi tahanan perang dan mujur dibebaskan sebaik sahaja Jepun menyerah kalah. Menulis pelbagai buku seperti:

Malay Regiment History

Short History of Malaya

Tunku Abdul Rahman, Father Of Independent

The Adventure Of Hang Tuah.

History Of Singapore.

Selepas merdeka beliau telah dilantik sebagai Pengarah Arkib sebelum dilantik sebagai Pengarah Muzium Negara yang pertama. Semasa menjadi pengarah di dua jabatan tersebut beliau gigih mengumpulkan artifak Melayu. Tan Sri Mubin, berjaya pada peringkat tertentu mengumpulkan beberapa artifak lama tersebut termasuk diari atau buku-buku catatan pegawai pentadbir Inggeris. 

Antaranya ialah surat-menyurat antara Stamford Raffles dengan Temenggung Hussein Johor, surat-surat daripada Gabenor W. Farquhar kepada pegawai-pegawai tinggi Inggeris dan pelbagai catatan awal dari hal Kuala Lumpur, catatan diari Sir Henry Gurney dan lain-lain. Mubin Sheppard juga berjaya mendapatkan pelbagai alat-alat perhiasan Melayu zaman Hindu-Buddha purba dan Portugis yang tersimpan di Lisbon dan London.

Malah beliau adalah pengasas Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) dengan menjadi setiausaha pertama. Perkim ditubuhkan dengan tujuan menerangkan perihal Agama Islam kepada bukan Islam dan menjaga kebajikan orang yang baru memeluk Islam. Beliau meninggal dunia pada tahun 1994 pada usia 89 tahun dan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.


Oleh: Naim Tamdjis 

No comments:

Post a Comment