SELAMAT DATANG KE BLOG PUSAT SUMBER SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANCHOR, SEREMBAN..............SELAMAT DATANG KE BLOG PUSAT SUMBER SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANCHOR, SEREMBAN

10 July, 2022

𝗠𝗔𝗡𝗧𝗔𝗜 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜𝗥𝗜𝗡𝗗𝗨𝗜


Ini cerita "kami" tentang Mantai. 

"Mantai" pada orang Negeri Sembilan merupakan adat yang cukup istimewa. Pada kebiasaannya, seisi keluarga kami akan berkumpul dan melaksanakan aktiviti bersama dalam persediaan menyambut perayaan keesokan harinya.

Biasanya pada hari Mantai, awal pagi lagi sudah kecoh seisi rumah kami. Daging atau tulang lembu harus didapatkan segera. Kalau dapat temusu, perut atau ekor lembu bagus juga. Jangan terperanjat jika ada keluarga yang menyembelih lembu awal pagi seolah-olah esok hari raya. Ada juga keluarga kami yang memilih untuk menyembelih beberapa ekor ayam kampung. 

Ibu akan menjadi ketua untuk menentukan masakan. Habislah kelapa dipanjat untuk didapatkan santan. Pokok cili kami akan togel hari tersebut. Maklumlah, jika tiada cili apalah makna masakan kami. 

Jika rezeki baik adalah nangka muda yang boleh dibuat gulai atau belimbing buluh jadi pilihan. Jika tidak umbut kelapa kami gunakan. Mungkin juga rebung atau jantung pisang. 

Daun-daun kayu kami kumpul. Kami dapatkan pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu serta petai. Ibu kami masak semua daun-daun itu bersama tempoyak dan magiknya bahan itu  menjadi sambal tempoyak daun kayu yang sangat kami sukai. 

Mantai di sisi adat kami memang begitu. Kami menyediakan makanan yang istimewa. Lemang harus dibakar, dodol mesti dikacau. Jika musim durian tiba, dodol durianlah kami tahun itu. Rendang ayam atau daging pasti tidak dilupa. Nasi seperiuk godang harus ditanak. 

Anak-anak kecil akan ditugaskan membersihkan rumah. Dari ruang tamu hingga ke halaman. Malah ada yang sudah menyediakan pelita keliling rumah. Suasana bagai pesta menyambut Ramadan.

Tidak dilupakan pada yang telah pergi. Kami akan ke kubur. Sedekahkan Al-Fatihah pada ahli keluarga yang pergi lebih dahulu. Pada masa itu juga kubur akan kami bersihkan sebaiknya. Buat persediaan raya nanti, apabila saudara mara yang jauh datang bertandang.  Dapatlah mereka melihat bahawa kubur ahli keluarga bersih dan terjaga. Pada kami, jika kubur bersih, tanda ingatan kasih sayang kami pada yang pergi tetap sama dan tidak berubah. 

Hari ini juga kami sempatlah bertemu kawan-kawan yang lama sudah tidak ketemu. Ada masa terluang, sempat kami bersama ronda satu kampung menaiki motor lama ayah. Kami ke sekolah lama, atau mungkin ke sungai tempat mandi manda dulu atau mungkin ke lokasi rahsia kami kecil kecil dahulu. Bagi yang sedikit nakal, buluh kami cari. Tak lama selepas itu, berdentumlah meriam buluh kabait kami.

Kemuncak Mantai, pastilah makan bersama. Makan bersila dalam bulatan besar sangat menyelerakan. Berpeluh peluh dek tiada kipas waktu itu ditambah masakan ibu yang pastinya pedas.

Makanan yang dimasak dari awal pagi akan dibawa bersama, menjadi hidangan bersama seisi keluarga nanti.Dapatlah berkongsi rasa dan cerita sepanjang malam.  

Itulah Mantai pada kami. Benar bahawa Mantai zaman ini sudah tidak sama lagi. Tapi kami harus juga balik mengadap rumah usang itu. Mengadap kubur yang sunyi itu.  Mengadap wajah ibu dan ayah yang makin di mamah usia itu.

Kami masih mahu mengadap tok guru mengaji Al Quran atau jiran tua yang kami anggap saudara. Malah kami sangat senang mengadap pokok durian, rambutan  atau mangga sambil tersenyum. Pasti ada kenangan zaman kecil yang istimewa. 

Kami masih mahu pulang di hari Mantai walaupun ia sudah tidak semeriah dulu. 

Mungkin yang kami cintai sudah tiada lagi atau mungkin seisi keluarga tidak lagi dapat berkumpul bagai zaman kecil kami.

Tetapi kami tetap mahu pulang ke kampung walaupun Mantai itu tidak sama lagi. Kerana apa? Kerana kami mahu mengenang zaman kecil yang nostalgik itu. Keadaan ini mungkin tidak ada apa-apa makna pada orang lain. Pada kami - anak jati Negeri Sembilan - 'Mantai' itu terlalu istimewa.

Anak Jati Negeri Sembilan yang merindui "Mantai"nya.

Kredit : Syirfan Indra

#DenAnakNogori #NegerisembilanKiNi

No comments:

Post a Comment