SELAMAT DATANG KE BLOG PUSAT SUMBER SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANCHOR, SEREMBAN..............SELAMAT DATANG KE BLOG PUSAT SUMBER SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PANCHOR, SEREMBAN

21 January, 2023

Kisah Rakyat

    Aku ada 7 adik -beradik. Aku yang kedua (kakngah). Atas aku abang long, tua setahun daripada aku, tapi takdir Allah abang long tak boleh menguruskan diri sendiri sejak dia kena demam panas ketika umur 7 tahun. Bawah aku ada lima orang lagi termasuk Ijat.

Dalam banyak-banyak adik-beradik, aku paling rapat dengan Ijat. Beza umur aku dengan Ijat dua tahun saja. Jadinya, selain abang long, Ijatlah kawan sepermainan aku waktu kecil-kecil. Adik-adik yang lain jauh sikit jarak umur dengan kami. Kehidupan keluarga kami pada awalnya tidaklah sesusah mana sekadar cukup-cukup makan sahaja.
    Yalah, ayah aku seorang saja yang bekerja untuk menyara lapan orang termasuk ibu. Dengan anak yang masih kecil-kecil, perit jugalah ayah aku mengerah keringat  kerana dia bekerja sebagai pembuat batu nisan. Haaa, 'scary' tak kerja bapak aku? Kalau kau datang rumah aku, penuh batu nisan beraneka bentuk tersusun di halaman rumah aku.
   Kau cakap saja, nak batu sungai, batu tak sungai, semua ada. Tapi itulah, kalau aku fikir-fikir balik, berdosa tak agak-agaknya aku doakan ramai orang meninggal setiap hari, dengan harapan nanti banyak tempahan batu nisan ayah aku.
   Tapi seriously, aku selalu doa macam itu waktu kecil. Sebab nanti kalau banyak tempahan, bolehlah kami makan sedap-sedap sikit. Tapi aku tak bagi tahu pun aku doa macam itu pada orang lain sebab aku takut nanti orang marah lepas itu cakap aku jahat pula. Hahaha
  'Back to the story', macam orang selalu cakap tu, langit tak selalu cerah. Hujung tahun 2003, waktu umur aku 14 tahun ayah tiba-tiba kena mild stroke.
Hampir separuh badan ayah lemah especially tangan. Kiranya sumber pendapatan kami terhenti secara tiba-tiba.
Dengan keadaan ayah yang perlukan rawatan yang agak mahal, duit simpanan ayah yang ayah kumpul untuk anak-anak terpaksa kami gunakan.
 Dengan ubat-ubatannya, hantar fisioterapi, hantar berurut secara tradisonal lagi, makin lama, duit ayah makin surut, makin susah dan mencabar hidup kami waktu itu.
  Tapi, Alhamdulillah, walaupun adik aku kecil-kecil, tapi semuanya seakan faham keadaan kami yang tiba-tiba berubah.
Nak dijadikan cerita, hujung tahun itu juga Ijat dapat keputusan UPSR yang sangat membanggakan.
Mana tak bangga, Ijat seorang saja dapat 5A dalam sekolah tu. Maka excitedlah para guru memohon sekolah SBP/MRSM untuk Ijat.
  Kami sebenarnya memang nak Ijat masuk sekolah asrama penuh, tetapi dengan keadaan keluarga kami yang sedang dilanda ujian tu, kami buntu. Ijat pun faham dan tak berharap pun. Lagipun dia tahu, kudrat dia sebagai anak lelaki amat diperlukan untuk bantu ayah.
    Bila ayah tahu Ijat nak sekolah dekat area rumah saja, ayah terus marah. Ayah cakap tak apa, jangan sebab ayah, Ijat tak dapat capai impian Ijat nak jadi doktor. Ijat diam.
  Nak dekat buka sekolah awal tahun 2004, Ijat berjaya ditawarkan masuk ke Tingkatan 1 di SBP dalam negeri Selangor.
Cikgu sekolah Ijat yang bagi tahu. Kami semua happy. Tapi Ijat tak. Ijat diam. Aku dengan ibulah yang terlebih excited.
     Tunggu punya tunggu surat tawaran, maka sampailah surat tawaran ke rumah kami. Baru aku tahu, boleh tahan mahalnya yuran nak masuk sekolah budak pandai-pandai ni. Hahaha.
  Yuran makan, yuran asrama, yuran kelab persatuan semua telah disenaraikan secara detail. Ibu dengan aku dah termenung. Ijat diam. Aku tahu Ijat teringin sangat-sangat nak pergi SBP, tapi dia tak berani nak cakap. Masa untuk mendaftar tak kurang dua minggu dari tarikh dapat surat tawaran.
  Ijat masih macam tu, senyap sepi. Ijat banyak habiskan masa bersendirian sampai kadang-kadang aku pun tak tahu dia pergi mana.
Tahu-tahu dah lesap. Nanti petang baru nampak muka. Lama-lama aku pelik, mana perginya budak Ijat ni. Jeng jeng jeng...
  Satu hari aku pun nekad nak intip Ijat buat apa kalau dia tak ada kat rumah. Aku intip punya intip, sampailah membawa aku ke satu stor ayah kat belakang rumah. Dalam stor tu, aku nampak baldi dah retak sikit tak bertangkai, hanger tak sama warna dan size, kasut sukan tapak ternganga. Awalnya, aku tak faham, tapi bila Ijat cakap “Ijat tengah kumpul barang nak masuk asrama ni kak ngah. Ni semua Ijat kutip kat tempat sampah belakang lombong tu”         Allahuakbar, menitik-nitik air mata aku.
“Kakngah jangan risau, tadi Ijat nampak ada orang buang beg troli yang ada roda besar tau (luggage), tapi ijat tak cek lagi roda dia boleh pakai ke tak. Ijat malu sebab pakcik yang buang beg tu cam tengok-tengok Ijat. Esok kak ngah teman Ijat ya ambik beg roda tu”.       
    Waktu tu, aku macam nak meraung dah. Tapi tengok mata Ijat yang bersinar-sinar excited tunjuk hasil tangkapan dan persiapan dia nak ke SBP, aku tahan. Malam tu, aku tarik ibu ke stor tanpa pengetahuan Ijat. Kami menangis bersama-sama malam tu. Sedih yang tak tahu nak cakap.
    Sampai sekarang, even saat aku tulis cerita ni, aku nangis, sedih. Esoknya, pagi-pagi lagi aku dengan Ijat dah menapak ke “shopping mall’ kita orang takut orang lain nampak kita orang sebat luggage tu.
Cek punya cek, roda ok, penarik pun ok, cuma koyak sikit kain luggage tu. Tapi masih boleh dibaiki.
   Aku jahit yang koyak-koyak tu, lepas itu aku cover dengan perca-perca bentuk bunga biar nampak berseni sikit. Sebak aku tengok muka Ijat yang senyum melebar macam nak koyak mulut dia, punya happy ada beg roda.
    Hari untuk mendaftar pon tiba. Hari itu, aku saja yang teman Ijat pergi ke sekolah tu menaiki bas sebab ibu nak kena uruskan ayah dan adik-beradik. Dalam 2 jam perjalanan, sampailah kami ke stesen bas. Lepas itu naik prebet sapu untuk ke sekolah baru IJat. 
 Dengan semangat penuh di dada, Ijat tarik luggage dia, aku tukang bawak baldi yang aku dah hias cantik-cantik area retak tu. Dalam baldi, ada biskut kering dengan Milo aku tapau dari rumah untuk bekalan Ijat kalau lapar di asrama. Sabun mandi, shampu pun bawa yang ada kat rumah saja. Sampai saja di dewan sekolah, penuh budak-budak nak mendaftar.
   Semua kemas-kemas belaka, ahli keluarga pun macam satu kampung datang nak menghantar. Aku dengan Ijat masih cool. Pendaftaran kami smooth saja. Sebab kami bawa duit cukup la untuk bayar semua tu.
  Tapi, sampai je koperasi, tiba-tiba ada satu borang lagi nak kena isi dan bayar. Terbeliak mata aku, RM50 lagi koperasi minta. Aku dah cuak, nak nego pun aku tak tahu. Lainlah kalau dah cakap awal-awal macam dalam surat tawaran tu. Duit aku pun cukup-cukup untuk naik bas balik rumah saja ni. Ijat tarik aku ketepi, 
“Kak ngah, kita balik saja la, Ijat macam rasa nak sekolah kat rumah sajalah”. Aku senyap. Ijat diam.
   Yalah,umur aku pun 15 tahun masa tu, mana pandai nak bincang-bincang dengan sesiapa kat situ. Aku ingat lepas hantar Ijat, bolehlah balik. Aku pergi tandas, aku menangis. Aku tak tahu nak buat apa. Sampailah ada seorang makcik ni tegur aku kenapa. Aku pun cerita la.
Lepas saja cerita, terus dia bawa aku pergi jumpa pengetua sekolah, pengetua sekolah pula bawa aku jumpa wartawan akhbar yang kebetulan tengah ambil gambar pasal hari pendaftaran kat sekolah baru Ijat. Tak memasal aku dengan Ijat kena interview dengan wartawan.
     Luggage dan baldi Ijat pun wartawan tu ambil gambar. Tak sampai setengah jam, pengetua pun datang pulang balik duit yuran yang kami dah bayar.
Dia cakap, semua yuran Ijat ditanggung oleh zakat sekolah mulai hari itu sampai tamat sekolah.
Alhamdulillah...Alhamdulillah... Alhamdulillah...
Menangislah aku dengan Ijat berpeluk-pelukan depan ramai orang tu. Esoknya, muka Ijat dengan aku terpampang dalam akhbar. Seminggu jugalah rumah aku didatangi tetamu yang datang dari merata tempat. Semuanya nak membantu. Terima kasih Allah.
   Alhamdulillah, dah 12 tahun kisah ini terjadi. Ijat pun dah nak dekat final year medic kat Ireland. Semoga Ijat dapat habiskan pengajian dia dengan cemerlang dan menjadi doktor yang ikhlas membantu pesakit kerana Allah. Kak ngah sayang sangat kat Ijat.      Aku nak ambil kesempatan ini nak ucap terima kasih kepada sesiapa yang pernah membantu Ijat dan kami sekeluarga sehingga Ijat mampu dan hampir capai impian dia nak jadi doktor.

No comments:

Post a Comment